Thursday, December 30, 2010

Sejarah Republik Yaman


YAMAN

Negara Yaman adalah sebuah tempat pertumbuhan kebudayaan yang paling penting pernah tumbuh di Semenanjung Tanah Arab sebelum Agama Islam datang. Perkataan Yaman berasal dari perkataan "Yumn" yang bererti "berkata" (Yaqut : Mu’jamul Buldan pada kata "Yaman". Lihat pada Encyclopedia of Islam artikel "Yaman") Ianya dinamakan sedemikian, kerana di negara ini dikatakan banyak berkat dan kebaikannya. Negera Yaman juga tersangat makmur kerana tanahnya yang subur dan hujan pun lebih kerap turun di sana. Rakyat Yaman telah mendapat satu akal untuk membuat takungan-takungan air dan beberapa buah empangan. Mereka telah membuat empangan dan tempat takungan air ini adalah kerana dengan adanya empangan dan takungan air itu, air hujan dapat dipergunakan dengan baik sama ada untuk tujuan pertanian mahupun sebagai sistem perparitan;dan dari itu, kota-kota dan juga kampung-kampung serta tanaman mereka tidak lagi dilanda air bah di musim hujan. Rakyat Yaman juga pernah memegang peranan yang besar dalam sejarah pelancaran perdagangan antara timur dan barat. Sebaliknya, kerana faktor-faktor yang disebutkan itu yang telah menyebabkan keturunan mereka tidak murni lagi; antaranya bahasa mereka telah menjadi rosak, kerana datangnya kaum-kaum saudagar dari India, Sumatera, Tiongkok, Mesir dan Syria ke negera mereka yang tidak pernah luput dari dunia penjajahan, yang telah dilancarkan oleh negara-negara jiran yang lebih kuat dan yang mempunyai cita-cita untuk menjajah. Kerana kestabilan dan cara hidup yang makmur sebelum penjajahan, maka telah lahir di Yaman ini beberapa raja-raja purba yang mempunyai mahkota kekuasaan dan istana yang besar. Bila adanya seorang raja yang kuat, maka tunduklah seluruh negeri di Yaman itu kepadanya. Ianya dipatuhi oleh sekalian raja-raja yang lemah yang mengetuai wilayah wilayah kecil dan ketua-ketua daerah di seluruh daerah Yaman, bahkan Hadramaut pun tunduk kepadanya. Akan tetapi dimasa kekuasaanya lemah, Negara Yaman terbahagi kepada beberapa daerah yang kerap kali berperang dan bermusuh-musuhan. Diantara kerajaan-kerajaan penting yang pernah berdiri di Yaman ialah :Kerajaan Ma’in, Qutban, Saba’ dan Himyar.Kerajaan Ma’in telah wujud kira-kira tahun 1200 sebelum masehi, dan Kerajaan Qutban wujud kira-kira tahun 1000 sebelum Masehi. Kerajaan Qutban inilah yang jadi pengawal Selat Bab el Mandeb yang memisahkan Yaman dengan Sudan. Akan tetapi hanya sedikit fakta fakta mengenai kerajaan ini dikenal pasti. Akhirnya kedua-dua kerajaan ini telah roboh, dan di atas punca kerobohannya berdirilah kerajaan Saba’.


KERAJAAN SABA’

Kerajaan Saba’ mula berdiri pada tahun 950 S.M. Pada mulanya ia hanya berdiri sebagai satu kerajaan yang kecil saja; kemudian bertambah menjadi lebih besar dan meluas, sementara itu kerajaan Ma’in dan Qutban semakin kecil dan lemah, akhirnya roboh dan dipusakai kekuasaannya oleh kerajaan Saba’; bahkan Hadramaut pun digabungkan dengan Kerajaan Saba’ ini. Kerajaan Saba’ berdiri dengan megahnya pada tahun 115 S.M. Kemasyhuran Kerajaan Saba’ berpokok pangkal kerana dua sebab :

Ratunya yang terkenal bernama Ratu Balqis. Cerita mengenai Ratu Balqis ini yang dikaitkan dengan Nabi Allah Sulaiman dan burung hud hud telah disebut di dalam al Quran (surah An Naml 20-44, dan lihat pula at Thabari I:345 – 350).

Empangan Ma’Rib, iaitu satu empangan yang terkenal didalam sejarah dunia. Empangan ini telah dibina oleh arkitek arkitek purba Yaman yang sangat mahir dalam ilmu pembangunan. Empangan ini merupakan sebuah empangan raksasa yang dapat menakung air di antara dua buah gunung dengan kapasiti purata jutaan gelen sehari. Air itu dapat dipergunakan di waktu-waktu keperluan seperti menanam dan kegunaan harian. Dengan adanya empangan ini maka kampung-kampung, kebun-kebun dan tanam-tanaman yang berada di tanah-tanah rendah dapat dipelihara dari bahaya banjir yang kerapkali terjadi di musim-musim hujan.Empangan raksasa seperti ini tentu saja harus diawasi, dipelihara dan diperbaiki. Akan tetapi kerana Kerajaan Saba’ ini mengalami kelemahan pada saat akhirnya, maka tiadalah mereka mampu lagi memelihara dan memperbaikinya. Akhirnya empangan raksasa ini telah rosak dan tidak dapat lagi menahan takungan air banjir dan hujan, terutama air bah yang disebut "Sailul Arim" (banjir besar) yang diceritakan oleh Allah di dalam al Quran (surah Saba ayat 16).Sailul Arim ini telah menyebabkan kehidupan di Yaman mengalami perubahan yang amat besar. Penduduk Yaman terpaksa berkongsi bahagian utara Semenanjung Tanah Arab, kerana air bah yang besar itu telah melanda dan menenggelamkan negeri mereka. Inilah yang menyebabkan runtuhnya Kerajaan Saba’ dan bangunnya Kerajaan Himyar.


KERAJAAN HIMYAR

Kerajaan Himyar berdiri semenjak Kerajaan Saba’ mulai lemah. Kelemahan Kerajaan Saba’ memberi kesempatan bagi kerajaan Himyar untuk tumbuh dan berkembang dengan pesat hingga akhirnya Kerajaan Himyar dapat mempusakai Kerajaan Saba’.

Kekuasaan mereka telah pun menjadi besar. Diceritakan bahawa bala tentera mereka telah berjaya menjelajah sampai ke Iraq dan Bahrain.Akan tetapi, kerajaan ini akhirnya mengalami zaman kelemahannya pula. Mereka alpa untuk memperbaiki dan mengawasi empangan dan takungan air itu. Oleh kerana itu empangan dan takungan air itu telah mengalami kerosakan awal pada zaman Kerajaan Saba’ akibat air bah dan banjir, maka Empangan Ma’rib tidak dapat dipertahankan lagi. Empangan raksasa itu sekali lagi telah roboh. Kerobohan Empangan Ma’rib mengakibatkan sebahagian dari bumi mereka tidak mendapat bekalan air yang diperlukan lagi, sementara sebahagian yang lain karam di dalam banjir. Malapetaka ini telah menyebabkan mereka berduyun-duyun berkongsi bahagian utara Jazirah Arab.Oleh sebab itu, Yaman menjadi lemah. Dan kelemahannya itu telah membuka jalan bagi kerajaan-kerajaan Parsi dan Rom untuk campur tangan dalam urusan Negera Yaman dengan maksud hendak memiliki negera yang subur dan makmur itu. Kerajaan Saba’ dan Himyar juga telah banyak meninggalkan bekas-bekas dan peninggalan-peninggalan yang dapat menggambarkan kebesaran dan kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan-kerajaan itu di zaman dahulu. Kerajaan-kerajaan ini juga pernah mempunyai armada laut yang besar untuk membawa barang-barang perniagaan dari India, Tiongkok,Somalia dan Sumatera ke pelabuhan-pelabuhan Yaman. Perniagaan pada Lin(zaman) ini boleh dikatakan dimonopoli oleh mereka.Dari Yaman barang-barang perniagaan ini dibawa ke utara oleh kabilah-kabilah yang juga dikuasai oleh Yaman, iaitu sebelum pusat kabilah-kabilah ini berpindah ke Makkah seperti yang akan diterangkan nanti.


YAMAN TERJAJAH

Telah kita bayangkan di atas, bahwa kesuburan dan kemakmuran Negara Yaman, menyebabkan dua kerajaan imperialis besar di waktu itu, iaitu Kerajaan Parsi dan Rom, berlumba-lumba untuk menguasainya. Ada lagi sebab yang secara langsungnya telah mengakibatkan Negara Yaman itu menjadi mangsa negara Imperialis, iaitu pergolakan agama yang terjadi di negera itu sendiri. Seorang raja Yaman, iaitu Zu Nuas, menganut agama Yahudi. Tindakannya itu diikuti oleh sebahagian kaumnya. Di Najran iaitu bahagian utara Yaman telah tersebar agama Masehi. Zu Nuas merasa khuatir kalau-kalau pengaruh Kerajaan Rom dan Habsyl akan menjalar ke Yaman dengan perantaraan agama Masehi, apabila Negara Yaman di waktu itu (abad ke V Masehi) sedang mengalami zaman kelemahannya. Maka Zu Nuas memerintahkan kepada penduduk Najran supaya memilih antara dua, iaitu menganut agama Yahudi atau dibunuh mati. Penduduk Najran bertekad biar dibunuh mati dari pada menukar agama mereka dengan agama Yahudi. Maka diperintahkanlah oleh Zus Nuas untuk menggali sebuah parit. Penduduk Najran dibunuh dan dibakar oleh Zu Nuas didalam parit itu.Salah seorang dari mereka telah dapat melarikan diri dari seksaan itu dan orang ini telah pergi ke negeri Habsyl (Euthopia). Kepada pemerintah disana iaitu Negus yang juga menganut agama Masehi, dimintanya supaya menuntut bela bagi kaum Masehi, yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup oleh Zu Nuas.Untuk ini, Kerajaan Habsyl telah bekerja sama dengan Kerajaan Rom. Kerajaan Rom telah menyediakan kapal-kapal yang diperlukan dan Kerajaan Habsyl pula telah menyediakan bala tentara.Kemudian mereka pergi menyerang Negara Yaman. Penyerangan-penyerangan telah beroleh kemenangan,dan Zu Nuas menderita kekalahan. Kemudian kudanya dipacu ke laut dengan tujuan membunuh diri dan karamlah dia di dalam laut itu.Dengan demikian jatuhlah Negara Yaman ke bawah kekuasaan Habsyl.Panglima bala tentara Habsyl bernama Aryath, dan pembantunya bernama Abrahah. Aryath telah dibunuh oleh Abrahah dan dengan demikian berpindahlah kekuasaan ke tangan Abrahah. Sesudah Abrahah meninggal dunia, kekuasaannya dipegang oleh anaknya yang bernama Yaksum, kemudian disambung oleh Masruq.Kerajaan Parsi tidak bersenang hati melihat Negara Yaman dijajah oleh bangsa Habsyl dan Rom itu. Akhirnya datanglah kesempatan baginya untuk campur tangan dalam urusan kenegaraan itu. Iaitu dikala salah seorang dari keturunan raja-raja Himyar namanya Saif bin ibnu Zi Yazin yang telah lari ke Parsi, untuk meminta pertolongan mengeluarkan bangsa Habsyl dari Yaman. Permintaan itu diperkenankan oleh Kisra (raja) Parsi. Dikirimnya bala tentara ke Yaman. Bala tentera Parsi ini berhasil melepaskan Yaman dari penjajahan bangsa Habsyl. Kemudian kedudukan bangsa Habsyl di Yaman digantikan oleh bangsa Parsi. Mereka mengambil alih kekuasaan bangsa Habsyl, sesudah Saif ibnu Yasin mati terbunuh, dan mereka kuasailah sepenuhnya Negara Yaman itu.Kisra mengangkat seorang Gabenor untuk memerintah di Yaman atas namanya.Di kala Muhammad SAW diutus menjadi Rasul, Gabenor di Yaman ialah Bazan. Dia hanya berpengaruh di Yaman saja. Banyak daerah-daerah yang lain di Yaman tidak dapat dipengaruhinya, hanya sekadar mempunyai raja-raja atau ketua-ketua dari bangsa Arab.Nabi Muhammad menyeru Bazan untuk menganut agama Islam, maka dianutinyalah agama ini.


KERAJAAN HIRAH DAN GHASSAN

Ada beberapa suku bangsa Arab yang menetap di bahagian Utara Jazirah Arab. Suku-suku bangsa ini kerapkali menggangu Kerajaan Parsi dan Rom. Kerapkali juga mereka melakukan serangan-serangan gerila, untuk merampas apa yang dapat mereka rampas. Kemudian rampasan itu mereka larikan kepedalaman Jazirah Arab. Tentara Parsi, begitu juga tentara Rom, tentu saja tidak sanggup mengejar mereka, terutama kerana jalan ke pedalaman amat sukar, dan air amat sukar dijumpai. Kerana itu Kerajaan Parsi dan Kerajaan Rom telah mengusahakan pembinaan satu hajiz (dinding) yang akan melindungi Negara Parsi dan Rom dari serangan-serangan itu. Untuk keperluan ini mereka telah mengumpulkan beberapa suku bangsa Arab yang telah mereka kenali, yang dahulunya berpindah dari Negara Yaman, lalu mereka ditempatkan di bahagian utara Jazirah Arab, yakni disebelah selatan Negara Parsi dan Rom. Kabilah-kabilah ini diperlengkapi dengan senjata dan diberi wang. Kabilah-kabilah ini mengenali dengan baik selok-belok dan simpang siur jalan-jalan serta seluruh liku-liku Jazirah Arab. Mereka sanggup pula menghambat serangan-serangan dari suku-suku bangsa Arab tersebut. Dengan demikian berdirilah Kerajaan Manadzirah di bawah perlindungan Kerajaan Parsi, yang kerajaan ini bertugas untuk melindungi Kerajaan Parsi itu sendiri. Di samping itu berdiri pula Kerajaan Ghassanah di bawah perlindungan Kerajaan Rom yang bertugas untuk melindungi Kerajaan Rom.


KERAJAAN HIRAH (MANADZIRAH)

Sejarah Keamiran Hirah ini mulai semenjak abad ketiga Masehi, dan terus berdiri sampai lahirnya agama Islam. Kerajaan ini telah berjasa juga terhadap kebudayaan Arab, kerana warganegaranya yang banyak bermusafir dan mengembara di seluruh tanah Jazirah Arab terutamanya untuk berniaga, dalam pada itu mereka juga menunjukkan kepandaian mereka dalam menulis dan membaca. Kerana itu mereka dapat dianggap sebagai penyiar ilmu pengetahuan di Jazirah Arab.Diantara raja-rajanya terkenal ialah: Umru ul Qais, Nu’man ibnu Umru ul Qais (yang mendirikan istana Khawarnaq dan istana Sadir di permulaan abad kelima Masehi), Mundzir ibnu Ma’is Sama’, Amr ibnu Hind (dikenal juga dengan nama "Amr ibnul Mundzir ibnu Ma’is Sama" yang bernama Hind (hindun) itu ialah ibunya) dan Mundzir ibnu Nu’man ibnul Mundzir. Mundzir ibnu Nu’man ibnul Mundzir inilah rajanya yang terakhir. Di masa pemerintahan raja inilah Khalid ibnul Walid memerangi Hirah, dan akhirnya negeri Hirah telah bergabung diri dan kekuasaan ke dalam pemerintahan Islam.


KERAJAAN GHASSAN (SHASASINAH)

Nama Ghasasinah itu telah diambil dari nama mata air di Syam yang iaitu Ghassan. Kaum Ghasasinah memerintah di bahagian selatan dari Negara Syam dan di bahagian utara dari Jazirah Arab. Mereka mempunyai kebudayaan yang tinggi, dan menganut agama Masehi yang diterimanya dari bangsa Rom dan merekalah yang berperanan memasukkan agama Masehi itu ke Jazirah Arab. Diantara raja-rajanya yang masyhur ialah: Jafnah ibnu ‘Amr, Arqam ibnu Tsa’labah, dan Jabalah ibnu Aiham. Jabalah ibnul Aiham inilah rajanya yang terakhir. Di masa pemerintahan Jabalah inilah terjadinya pertempuran Yarmuk dan masuknya agama Islam ke daerah ini. Menurut cerita, Jabalah ini telah memeluk agama Islam, akan tetapi kemudian dia murtad dan lari ke Negara Rom dalam suatu peristiwa masyhur yang terjadi di masa pemerintahan Umar Ibnul Khattab.Antara Kerajaan Mandzirah dengan Kerajaan Ghasasinah itu selalu terjadinya pergolakan, terutama disebabkan perselisihan tentang sempadan perkapalan, Kerajaan Manadzirah juga menjalankan politik yang dijalankan oleh kerajaan Parsi, sebagaimana Kerajaan Ghasasinah menjalankan politik yang dijalankan oleh Kerajaan Rom. Oleh kerana Kerajaan Parsi dengan Kerajaan Rom itu bermusuhan, maka terjadilah peperangan antara Kerajaan Parsi dan Kerajaan Rom, dan tentu saja Kerajaan Manadzirah berdiri di samping kerajaan Parsi dengan memberi pelbagai jenis bantuan.Oleh kerana raja-raja Kerajaan Hirah dan Ghassan itu adalah berketurunan Yaman, maka dalam soal bidang kebudayaan dan cara hidup, mereka masih lagi menjaga corak dan tradisi Yaman. Sebagai contoh yang dapat dikemukakan disini ialah dengan terbinanya dua buah istana besar yang didirikan oleh raja Hirah, dengan mencontohi istana-istana Yaman, iaitu yang terkenal dalam sejarah dengan nama "AlKhawarnaq", dan "As Sadir", yang telah disebutkan di atas.Jasa kerajaan-kerajaan ini yang terpenting ialah: mereka telah memegang peranan dalam menyiarkan pelbagai macam jenis kebudayaan Parsi dan Rom ke Jazirah Arab. Mereka laksana jambatan yang dilalui oleh iring-iringan kebudayaan dari Negara Parsi dan Rom dalam perjalanannya menuju ke Jazirah Arab.Diantara jenis-jenis kebudayaan itu ialah: agama, ilmu pengetahuan umum, penulisan dan bacaan, ilmu pengetahuan ketenteraan dan lain-lain.

1 comment:

  1. Bismillahir Rahmanir Rahim

    https://keep.line.me/s/Dg9O1W5x3CyZh7KgLGITVNEy18cV76dX3C1YwDN9MQI


    Web: almawaddah.info

    Salam wa rahmah

    Kepada;

    Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

    Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

    Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic". Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan
    Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin..?
    Terima kasih wa 'afwan.

    Daripada;
    Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
    Kuala Lumpur
    Malaysia.



    ReplyDelete